Assalamualaikum.
Bertemu lagi hari ini, setelah beberapa aku tidak tubik di halaman ini. Adalah sebab yang tak boleh dielakkan. Utamakan yang penting dahulu. hihihi.Tinggalkan seketika aktiviti blogging. Ada ke yang dok tunggu-tunggu. Jangan perasan.
Sabtu lepas. Aku ke Cherating. Mem ada reunion MRSM Kuantan, batch 90. Aku, Mem, Kak B, Amzar dan Cik Moh bertolak jam 7.15 am. Amzar denga Cik Moh, akan ditinggalkan di rumah adik Cik Moh, di Felda Bukit Goh, selama seminggu. Itu permintaan Cik Moh.
Kami tiba di Felda Bukit Goh agak lewat. Aku drive tak berapa nak laju. Mengantuk punya pasal.. Tak tahu kenapa. Nak kata tak cukup tidur. Malamnya aku tak berjaga. Tidur awal. Bangun pun lewat. Subuh baru terjaga.
Aku rehat seketika di Hentian Rehat Maran. Mengantuk sangat. Beli kace butil & Red Bull. Biar mulut ada kerja, halang mengantuk. Lama juga aku kat situ. Cik Moh tukar pampeh Amzar. Lain-lainnya tumpang sekaki. Mem terlupa nak beli mugo ni ketika singgah di Petronas Karak tadi. Kalau dah beli, tak payah berhenti sini.
Sebelum singgah di Hentian Maran, aku dah singgah terlebih dahulu di Petronas Karak. Lama juga singgah situ. Breakfast dulu. Tapi kalau ikut aku, bukan breakfast pun. Sekadar lapik, sebelum betul-betul breakfast. Sekadar roti hotdog je. Menampung buat seketika. Dalam kepala dah plan nak singgah di R & R Temerloh. Patin tempoyak dan gulai keli salai ternampak-nampak. Adus sedapnya.
Sambung perjalanan. Pada awalnya nak singgah di Kawasan Rehat Temerloh. Nak breakfast di situ. Bila drive semula. Tak jadi pula. Macam kenyang je pulak. Mugo dah kena kace butil. Kalau berhenti lagi, lagi lambat sampai la.
Exit Plaza Tol Kuantan, lepas tol jumpa simpang tiga belok kiri, gi depan sikit, belok kiri lagi. Sampailah di Bukit Goh. Tak lama, kami dihidang nasi. Kami apa lagi. Membedal sakan. Kelaparan. hihihi. Lauk simple. Ikan rebus goreng, pucuk ubi dan budu. Cukup menyelerakan. Pucuk ubi segar, kami sampai baru petik pucuk ubi kayu, dan terus celur. Terasa manisnya. Kalau di KL yang dah beberapa hari petik. Dah kurang khasiat atau memang hilang langsung.
Usai membedal. Sambung perjalanan menuju The Legend Resort Cherating. Aku masuk semula LPT dan exit di Jabor dan terus ke Cherating. Resort ini terletak di Lot 1290, Mukim Sungai Karang Cherating, Kuantan. Kalau dari Kuantan, lokasinya terletak selepas Holiday Villa. Jam 12.15 kami cecah lobi hotel. Dah ada beberapa sahabat Mem yang tiba lebih awal. Dari KL dan dari Kelantan. Kami mungkin yang ke-5 kot.
Mem ajk. Kena sampai awal. Nak urus pendaftaran. Lepas tu kami dijamu makan tengahari. Menikmati makan menghadap laut. Di luar kawasan resort, hanya bersebelahan sahaja Walaupun dekat, tapi tetap kena berkereta juga. Aku tumpang kereta Golok.Terima kasih yang sponsor. Masak ke beli aku tak pasti. Lain kali, sponsorlah lagi. hihihi Aku baru je makan di Bukit Goh, masih kenyang. Dah ada, bedal lagi. Ingatkan nak sikit je. Bila membedal tak ingat. Sebungkus penuh juga.
Siap makan. Balik resort. Rehat di lobi sampil tunggu kunci. Dapat kunci. Masuk bilik. Mandi dan solat. Jam dah hampir pukul 3 pm. Peserta reunion semakin ramai yang tiba. Mem agak sibuk dengan urusan pendaftaran. Kak B, urusan mandi manda di kolam. Kak B dah jumpa kawan. Anak Maria. Aku dilanda mengantuk. Mungkin terlebih isi. Aku lena sakan. Bangun-bangun dah hampir Maghrib. Tak sedar pun, Mem dan kawan-kawannya mandi-manda di kolam resort.
Agenda malam. BBQ. Itu je. Aku join sekali. Membedal sakan juga. Kena daging & kambing bakar. Bukan itu je, mugo lain pun banyak. Makan tak banyak sangat. Sembang je banyak. Maklumlah lama terpisah. Ada yang dah tak kenal. Dok risik-risik dengan kawan sebelah. Nak tanya empunya diri. Takut ada yang kecik hati pulak. Sembang sakan. Seronok sakan. Ada yang terpisah 23 tahun.
Tak semua yang datang bawa pasangan & anak. Ada yang solo.
Aku makan dan tengok je. Hanya beberapa orang je yang aku kenal dan pernah jumpa. Ramai yang tak pernah jumpa. Aku pernah jumpa seperti Senen, Lidda, Golok. Aku dok dengar mereka sembang2.
Peserta Reunion sekitar 60 orang. Ramai juga. Masih ramai yang tak datang....
Sekitar jam 10 pm. Tamat. Tidur. Kak B, tidur di bilik Maria bersama anaknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan